Tuesday, September 16, 2008

kerana kita manusia biasa...

Kerana aku manusia biasa...

Benar, setiap insan punyai pelbagai impian dan harapan. Perancangan masa hadapan. Ada yang ingin kebijaksanaan, ada yang ingin kemewahan, kecantikan dan sebagainya. Fitrah manusia memang begitu. Kita tidak maksum. Makanya, tidak dinafikan lumrah kehidupan manusia lebih banyak yang berpandukan nafsu. Penuh kegilaan, penuh angan-angan! Lucu, bukan?

Kerana aku manusia biasa...

Maka aku juga tergolong dalam kelompok ini. Aku tidak akan menafikan, hakikatnya memang seronok membina impian, memasang angan-angan. Siapa yang akan menolak? Sekadar berangan-angan, tidak akan ada yang rugi kerana satu sen pun tidak perlu dikeluarkan. Kan?

Kerana kita manusia biasa...

Betapa adakalanya, angan-angan kosong itu memberikan kebahagiaan, menerbitkan senyuman. Si kecil berangan, ‘kalau dapat nombor satu pasti ayah dan ibu lebih menyayangiku. Mereka pasti berbangga denganku kerana aku mampu berjaya walaupun kami hidup dalam kedhaifan’. Si bapa yang hanya mampu kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang menyara keluarga demi sesuap nasi pasti berangan, ‘jika hari ini aku berjaya mendapatkan rezeki lebih, pasti anak-anakku gembira. Sekurang-kurangnya mereka akan ada belanja sekolah, atau boleh digunakan untuk membeli buku, membayar yuran atau sekurang-kurangnya mereka boleh makan berlauk hari ini (walau hanya telur dadar di belah lapan!). Bukan sekadar nasi berlauk garam berkongsi di dalam satu pinggan!’

Ada yang ingin menggandakan kekayaan, menjadi orang kenamaan bahkan ada juga segelintir antara kita yang memasang impian yang bukan-bukan!! Mungkin ada doktor pakar (pastinya yang xpernah lulus dan jejakkan kaki di sekolah perubatan) di luar sana berangan, ‘aku dah cuba ecstacy, esok boleh jalankan eksperimen baru, cuba heroin pula. Barulah ‘best!’. Bagi kasanova jalanan, mungkin berangan, ‘hari ni, aku ‘ayat’ sekali, ‘awek’ tu cair, tangkap leleh lagi.. Siap ikut keluar makan. Esok boleh cuba lagi. Untung-untung boleh pegang tangan! Bertuah badan...’ Bagi si minah perasan, pasti tak lepas juga dari angan-angan. Berkemungkinan, ‘bila lagi nak tayang badan, jadi mestila pakai yang ketat-ketat, sendat-sendat, tayang pusat berkarat! Untung-untung ada yang terpikat!!’. Fuh, dasyat... Err, agak-agak dia berani tak lalu depan ustaz? Pening lalat... Memang dunia dah nak kiamat!

Ada juga yang impian mereka bercanggah dengan realiti kehidupan! Asalkan ada duit, semua boleh jadi. Halal atau haram ‘belakang’ cerita... Sanggup gadai ‘body’, gadai nyawa, rela bertapa, rela puja kubur cina, yang penting kaya. Belum lagi cerita yang menuntut ilmu hitam dan ‘membela’... Memang hantu raya! Ada yang sanggup berbelanja kerana tidak mahu nampak tua. Tak sedar dia, rumah kata pergi, kubur kata marilah..., marilah! Botox, pembedahan plastik, suntik sini, suntik sana, susuk emas, susuk delima, susuk besi, semua ada... Hakikat manusia memang tak selalu muda, apa nak dikata?

Tak kurang juga anak muda yang bila di tanya, apa cita-cita? Tahu apa katanya? ‘Bar Tender berjaya!’ Yang bertanya pulak yang ternganga! Terbayang-bayang air kuning berbusa di kepala. Belum lagi cerita yang nak jadi usahawan berjaya.. Yang bertanya tumpang gembira. Ada juga anak muda berani mencuba, berhati waja. Jual apa? ‘Pil Kuda’, katanya bangga! Haaaa?? Kelu tak terkata! Ada juga yang kata, nak jadi ‘anak ayam’ berjaya. Kenapa nak susahkan diri sendiri. Tak perlu belajar tinggi-tinggi. Yang penting ada rupa, ada ‘body’, cari ‘sugar daddy’. Sugar mummy pun boleh ‘join’ sekali! Yang bertanya rasa macam nak tertanggal gigi dengan gusi! Kalau jumpa lagi 10 yang macam ni, ‘kompom’ boleh mati sakit jantung, Tibi dengan denggi sekali!

Ada pula yang tukar jantina! Bila di tanya kenapa, ada yang jawab nak jadi ratu kebaya! Gila! Memang gila! Agak-agaknya, tercapaikah cita-cita? Ratu kebaya ‘kaum dia’ agaknya.. Bila ada yang menegur, ada juga yang tarik muka.. tarik muncung 14 inci mengalahkan itik nila! Kita warganegara merdeka. Jiwa dan minda perlulah terbuka. Ini hak asasi manusia, katanya... Hak Tuhan di mana letaknya? Ada juga yang kata, ‘buat apa nak kisah.. Jaga kain masing-masing sudah la.. Kubur kita lain-lain. Engkau susah apa? Lagipun aku yang kena seksa! Ikut suka aku la...’ Hebatnya bicara!! Azab Allah bukan sakit macam kena gigit kerengga!! Tahukah dia?

Kerana kita manusia biasa...

Makanya, kita perlu bijak menimbang baik buruk sesuatu perkara. Ada impian yang menjanjikan kebahagiaan jika kita benar-benar berusaha untuk merealisasikannya. Ada impian yang memberi semangat dan kekuatan untuk menempuhi masa hadapan. Ada juga impian yang dicipta sekadar untuk mengubati hati yang rawan. Pastinya ada juga impian dan harapan yang membawa kepada kehancuran dan kebinasaan. Pilihan ada ditangan. Kitalah yang menentukan, kita jualah yang membuat keputusan. Asalkan Syariat dijadikan landasan, kita pasti tidak akan keciciran atau kecundangan!

Kerana kita manusia biasa...

Makanya, bermimpilah! Berharaplah! Tidak salah membina impian. Namun, andai kecundangan di pertengahan jalan, janganlah disalahkan takdir Tuhan... Kerana kita hanya manusia biasa! Kita merancang, tetapi ingatlah Dia sebaik-baik perancang. Dialah yang menentukan. Yakinlah bahawa Allah tidak pernah zalim pada hamba-hambaNya. Setiap impian dan harapan anda pasti dimakbulkan. Yang membezakannya hanyalah cepat atau lambat, bersesuaian atau berkadaran dengan tahap kemampuan setiap insan. Anggaplah ia sebagai satu ujian untuk menguji keimanan kita sebagai hamba Tuhan. Pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian. Jadilah a’bid yang sentiasa bersyukur, ikhlas dan redha dengan setiap ketentuan, di saat suka, duka, gembira dan rawan.

Kerana kita manusia biasa...

Maka pada Dia kita sandarkan harapan. Adakala kita mengharapkan kebijaksanaan, Allah berikan masalah agar kita mampu memecahkannya, agar kita bisa mencari jalan penyelesaian. Adakala kita mohon kekuatan, Allah berikan cubaan agar kita tabah menghadapinya. Adakala kita mohon di berikan keberanian, Allah berikan merbahaya agar kita mampu mengatasinya. Kita mohonkan kebahagiaan, Allah berikan pintu kesempatan agar kita dapat memanfaatkannya. Sesungguhnya, hanya Dia yang lebih Mengetahui.

Kerana kita manusia biasa...

Maka rebutlah setiap peluang yang ada di hadapan mata. Setiap kesempatan ada rezekinya. Di sinilah iman, ilmu dan amal memainkan peranan. Di sinilah jua titik mula kebahagiaan. Carilah hidup yang di redhai Tuhan. Impilah keberkatan. Hidup ini indah kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Andai semua ketentuan berada di dalam jangkauan, maka tiadalah lagi nikmat kehidupan. Hilang dan sirnalah kemanisan iman. Inilah rahsia Allah yang dihadiahkan buat insan dan umat pilihan!

Kerana aku manusia biasa, kerana engkau manusia biasa, kerana kita manusia biasa...

TERIMA KASIH TUHAN!!!


Najmi_Qalbi – 7 June 2008, 5.25 a.m.

No comments: