Butakah cinta??
Ramai orang selalu mengatakan bahawa cinta itu buta. Cinta itu buta... Setiap kali saya akan terkenang lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Spring, lagu yang pernah popular saat saya kecil dahulu. Begini bait-baitnya:
“Jika benar cinta itu buta, butakah mataku. Berkali terluka masih jua ku menunggu...Apa yang ku inginkan cuma kejujuran dalam perhubungan.. jika itu tiada, apalah ertinya... penantian ini hanya sia-sia...”
Jadi benarkah cinta itu buta? Itulah persoalannya.
Tapi, jujur saya katakan, saya tidak percaya. Pada pandangan saya, (yang tentunya tidak wajib benar dan harus salah) cinta itu tidak buta. Manusia itu sendiri yang membutakan matanya kerana cinta. Kita sendiri yang memejamkan mata kita daripada melihat persekitaran dan apa yang berlaku disekeliling kita kerana sedang asyik masyuk bercinta. Jadi, mengapa cinta pula yang harus disalahkan? Tentunya tidak adil, kan?
Cinta itu adalah iradat dan anugerah dari Tuhan, dikirimkan ke dunia memenuhi hati-hati manusia supaya kita dapat hidup dengan tenang, penuh kasih-sayang, barakah dan rahmah. Semuanya jelas dan boleh anda lihat sendiri di dalam Al-Quran (Al-Rum: 21). Kerana cinta jugalah kita lahir ke dunia ini. Kerana cinta jugalah Allah ciptakan syurga dan neraka serta seluruh isi alam semesta. Cinta menjadikan kita seorang ‘manusia’, cinta mengajar kita erti dewasa, cinta mengajar kita erti derita, erti rindu dan sendu, cinta mengajar kita erti iman dan taqwa. Sebegitu banyak kenikmatan cinta, masih butakah ia?
Setiap orang punyai ragam dan kerenah yang berbeza. Tapi setiap kita mempunyai fitrah yang sama, ingin menyintai dan dicintai. Kita dambakan bahagia hakiki. Jadi, tidak hairan jika ada yang membutakan mata sendiri semata-mata ingin memelihara cinta mereka. Cinta sejati, katanya. Seringkali kita lihat di dalam masyarakat kita, ada isteri yang sanggup hidup bertahun-bertahun walaupun didera dan diseksa sang suami. Semuanya kerana apa? Bukankah kerana cinta? Kalau pun bukan untuk si suami, pastinya dia berdiam diri demi anak-anak. Bukankah itu juga pengorbanan untuk melindungi cintanya?
Ada juga sesetengah gadis yang sanggup menahan diri walaupun mereka miliki pasangan yang panas baran. Belum pun berumahtangga, tangan dan kaki sudah naik ke muka. Lagaknya seperti Superman! Tapi mereka masih mahu bertahan dan sedia memaafkan dengan harapan si dia akan berubah. Mahukah berubah? Berbaloikah penantian anda? Jika dia mahu, semasa si dia mula-mula berkenalan dengan anda, si dia akan berusaha mengubah dirinya. Tapi, kalau dah bercinta sembilan tahun lamanya, masih dengan tabiat lama, anda benar-benar fikir anda mampu mengubahnya?
Dengan memberi pandangan sebegini, tidak bermakna saya menyebelahi wanita kerana saya dari kalangan jantina yang sama. Perkara begini tidak hanya berlaku kepada kaum wanita. Bahkan ada juga lelaki yang menjadi mangsa. Saya pernah terbaca satu rencana di dalam sebuah majalah tempatan, ada segelintir lelaki yang menjadi mangsa dera wanita! Ada juga lelaki yang terpedaya dengan pujuk rayu wanita sehingga terpaksa bergolok bergadai. Semuanya kerana cinta!
Jika anda salah satu daripada mereka, mengapa tidak anda angkat kaki sahaja? Berbaloikah anda korbankan kasih, cinta dan sayang anda untuk mereka yang tak pernah mahu menghargainya? Islam telah memberikan panduan, carilah yang beriman. Maka anda akan terselamat dari masalah sebegini. Bukankah lelaki yang baik diciptakan untuk perempuan yang baik juga? Maka, mungkin anda layak mendapatkan insan yang lebih baik daripada si dia. Insan yang akan menyayangi anda seikhlas hatinya, menerima anda sebagaimana anda tanpa mahu mengubah apa-apa.
Nasihat ini tentunya saya lebih utamakan kepada kaum perempuan. Ini bukan agenda untuk tidak berlaku adil. Hanya kerana kaum wanita tidak mempunyai banyak pilihan sebagaimana lelaki yang boleh berkahwin empat. Jadi, pilihlah yang terbaik. Saya tidak menyarankan anda mencari insan sempurna kerana tiada siapa yang sempurna di dunia ini melainkan-Nya. Bahtera mana yang tidak dilanda badai? Lautan mana yang tidak dihempas gelombang? Begitulah adat berumahtangga. Bergaduh sedikit perkara biasa. Sedangkan lidah lagikan tergigit. Saya tidak mahu anda menyesal di kemudian hari. Kelak anda yang rugi. Sekali melangkah, anda sudah tak boleh menoleh ke belakang kerana masa tidak boleh diputar kembali.
Saya percaya, ramai dikalangan kita yang sanggup menderita daripada diceraikan atau digantung tidak bertali. Mungkin kerana takutkan status janda atau duda itu sendiri kerana saya pasti ramai dikalangan kita yang masih memegang kejap prinsip ‘kahwin hanya sekali’. Tapi, siapa tahu mungkin yang kedua lebih bererti? Atau mungkin adakalanya lebih baik bagi anda untuk hidup sendiri? Saya tidak minta perkahwinan sesiapa menjadi porak-peranda. Itu bukan niat saya yang utama. Nauzubillah!
Niat saya hanya satu. Saya tidak mahu sesiapa di antara kita tersilap langkah. Celikkan mata anda ketika anda memutuskan ingin bercinta sekaligus berumahtangga. Jangan butakan mata anda kerana cinta. Kita lebih menurut nafsu saat kita mabuk asmara. Maka, sekalipun kita tahu, kita pekakkan telinga, kita butakan mata. Ada juga yang sanggup putus sahabat, putus saudara jika ada yang cuba memberitahu.
Sepatutnya anda berterima kasih kepada mereka kerana itu tandanya mereka amat menyayangi anda. Mungkin ada yang akan mereka-reka cerita untuk memburukkan pasangan anda. Tapi, apa salahnya anda selidiki dahulu, pertimbangkan baik dan buruk sesuatu perkara, kemudian barulah anda putuskan sama ada si dia yang anda benar-benar mahu. Jika mahu keputusan yang lebih meyakinkan, buatlah istikharah. Mintalah petunjuk dari-Nya. Mudah-mudahan anda akan perolehi kelapangan hati. Semoga anda bertemu dengan kekasih hati anda. Mudah-mudahan anda mendapat cinta sejati. Dan saya doakan anda perolehi keredhaan Ilahi. Sesungguhnya, kebahagiaan anda, kebahagiaan saya jua!
Najmi_qalbi – 10 June 2008, 1.23 a.m
No comments:
Post a Comment