Sunday, October 5, 2008

kiasan hati


Masih lagi saya sendirian lewat dinihari begini. Terlalu banyak yang perlu dan ingin saya fikirkan. Mungkin kerana kebosanan atau mungkin kerana saya merasakan perlunya melafazkan apa yang tersurat dan tersirat di hati kecil saya, makanya saya masih mencoret-coret di sini. Entah untuk siapa saya sendiri tak pasti. Mungkin sekadar untuk kepuasan diri sendiri. Mungkin juga sebagai peringatan untuk diri saya sendiri yang pastinya tidak lepas dari sifat pelupa sementelah saya semakin meningkat dewasa.

Semakin lama saya menelek diri sendiri, semakin saya pasti sebenarnya banyak yang saya ingin kongsi (dengan siapa sahaja yang sudi) terutamanya tentang rahsia hati saya sendiri. Tapi, berkemungkinan kerana rasa tidak yakin pada diri sendiri dan bimbang akan penolakan-penolakan yang mungkin saya masih lagi tidak bersedia untuk hadapi atau mungkin juga kerana saya bimbangkan berlakunya salah interpritasi, makanya saya mengambil langkah selamat dengan menyepikan diri. Sebenarnya, terus-terang saya akui, ini bukan langkah yang baik kerana ia lebih banyak memakan diri sendiri dan adakalanya menjadikan saya seorang yang pesimis dalam banyak perkara!

Tetapi, saat ini saya merasakan saya perlu berbicara tentang satu perkara yang lazim bagi setiap insan yang bernyawa. Mungkin atas desakan dari beberapa rentetan peristiwa yang berlaku di lingkaran kehidupan saya atau mungkin juga kerana hati kecil saya kepenatan menanggung rasa.

Pasti ada sesetengah kita akan berkata dengan bangga bahawa saat yang paling manis dalam hidupnya adalah zaman kanak-kanak yang pastinya penuh dengan hilai tawa dan belaian manja. Tapi, jika soalan yang sama diajukan kepada saya, saya sendiri tak pasti jawapan yang saya beri. Saya tidak mempunyai banyak kenangan manis yang boleh saya ingati sehingga ke hari ini. Satu- satunya yang saya ingati dan rindui hingga ke hari ini adalah suara nenda saya yang tercinta, bercerita tentang kisah nabi dan rasul pilihan, cerita tentang pejuang-pejuang Islam yang memburu syahid setiap kali menidurkan saya atau tatkala nenda saya mengalunkan Kalam Allah setiap kali usai solat subuh. Waktu itu saya akan merangkak naik di ribaannya (dengan harapan saya akan dapat menyambung tidur saya yang enak), tapi seringkali pula nenda saya mengugut, dia tidak akan benarkan saya belajar surah yang baru jika saya enggan bangun dan bersolat subuh. Setiap pagi saya akan merajuk disebabkan itu.

Saya rindukan ciuman dan tangan nenda saya yang lembut menepuk badan saya atau menyisir rambut saya. Dan pastinya, masakan nenda saya yang paling istimewa! (sehingga sekarang ada makanan yang tidak saya sentuh kerana kenangan bersamanya sentiasa menerpa). Oleh kerana nenda saya lumpuh, maka saya dan abang lebih banyak menghabiskan masa di rumah berbanding masa untuk kami bermain bersama teman-teman. Setiap saat bersama nenda, amat saya hargai. Tapi saya harus akur, setiap yang hidup pasti akan mati. Nenda meninggalkan saya buat selamanya waktu saya berumur 12 tahun dan saat itu saya rasakan separuh dari diri saya turut hilang. Jika ada yang bertanya siapa yang lebih saya sayangi antara nenda dan ibu bapa saya, tanpa ragu-ragu saya akan menjawab, NENDA! Aneh bukan? Mungkin tidak buat insan seperti saya.

Saat ini saya lebih terpanggil untuk bercerita tentang cinta. Definisi cinta pastinya terlalu universal. Tak perlu saya jelaskan itu dan peringkat-peringkat cinta. Anda sendiri mungkin lebih arif dari saya. Saya hanya ingin bercerita tentang cinta dari sudut pandangan mata saya sendiri kerana saya pasti setiap orang punyai definisi dan ceritera cinta tersendiri.

Hari ini saya menerima satu jambangan bunga, terdiri daripada 24 (signifikan umur saya agaknya!) kuntuman mawar pelbagai warna dengan nota kecil tanpa nama, tertulis; ‘jodoh kita pasti bersama’. Kata-kata ini yang membuatkan saya termenung lama. Yakin benarkah dia? Itu persoalan pertama. Seharusnya saya gembira, tapi waktu itu saya tidak merasa apa-apa. Kosong! Mungkin kerana itu kala ini saya menulis di sini.

Tapi, ada sebab yang lebih utama. Jumaat yang lalu (6 jun 2008), saya menyertai lawatan ke Musium Kesenian Islam (Islamic Arts Museum Malaysia). Kebetulan, rakan saya meminta saya menemaninya ke sana. Satu kebetulan yang amat bermakna bagi saya! Perkara yang paling menarik minat saya adalah model bangunan Makkatul Mukaramah dan Masjid Nabawi di Madinah. Waktu terpandang bongkah bangunan tersebut, hati saya di paut sayu. Saya berperang dengan diri sendiri, berdoa supaya air mata saya tidak tumpah di situ. Saya tidak lama di situ, sekadar mendengar penjelasan seorang teman yang pernah menjejakkan kaki ke sana. Tapi, saat kumpulan kami diberikan waktu bebas, saya ke sana sekali lagi dan kali ini saya keseorangan. Banyak saya fikirkan saat itu tapi ada satu perkara nyata di benak saya!

Saya teringat, sejak kecil saya dan abang memang gemar membaca. Maka, setiap kali mama pulang menjenguk kami setiap hujung minggu, mama akan membelikan kami buku cerita pelbagai warna. Salah satunya, pasti cerita tentang puteri dan anak raja. Saya dan abang pasti terkekeh-kekeh membacanya. Saya pernah bertanya pada nenda, wujudkah cerita sebegitu di alam nyata. Nenda akan tersenyum. Sambil menepuk saya, nenda memberitahu mungkin ada dan mungkin tiada. Satu yang dia tahu, setiap kita di dunia punyai jodoh yang di tetapkan Allah sejak azali. Saya tak mengerti saat itu. Saya masih ingat, saya tanyakan padanya mengapa puteri harus berjumpa dengan putera. Puteri dengan puteri sahaja tak bolehkah. Nenda hanya ketawa. Katanya, lelaki dan wanita dijadikan untuk saling melengkapi, jadi harus bersama. Saya semakin pening. Saya bertanya lagi, adakah saya nanti akan melalui fasa kehidupan yang sama, menyintai dan dicintai (pastinya dengan menggunakan bahasa saya yang tersendiri). Akan adakah orang yang menyayangi saya seperti nenda? Bagaimana jika tiada siapa yang sudi? Insya-Allah, ada, kata nenda. Kita kena sentiasa berdoa. Bagaimana kalau saya jadi budak yang jahat, pasti Allah murka (seperti yang selalu nenda kata) dan pasti Allah tidak akan memakbulkan doa saya? Nenda hanya tersenyum tanpa membalas apa-apa. Mungkin kerana tidak tahu untuk menerangkan kepada saya. Tapi, sebelum saya terlena malam itu, nenda katakan bahawa dia akan sentiasa berdoa untuk kebahagiaan saya dan abang terutama sekali bila dia punyai kesempatan menjejakkan kaki ke tanah suci. (harapan nenda yang tak pernah kesampaian sehingga hujung nyawanya..)

Semakin saya dewasa, saya banyak berfikir tentang ini. Banyak perkara yang menghantui kehidupan saya. Latar belakang saya banyak mempengaruhi kehidupan dan pemikiran saya. Sehingga pernah satu ketika saya amat membenci lelaki walaupun rakan-rakan saya lebih ramai lelaki. Hubungan saya dan abang agak renggang. Saya menyayangi abang tapi semakin hari saya menjadi manusia yang tak pandai menzahirkan rasa hati saya. Semua ini memakan diri merosakkan hati sendiri. Saya lupakan ajaran nenda supaya tidak jadi pembenci. Saya jadi pembengis, baran dan pentingkan diri sendiri. Sehinggalah ada seorang sahabat yang berjaya merubah pendirian saya. Dan saya masih lagi dalam proses membentuk peribadi saya sehingga kini.

Saya pernah menanam impian ingin menjejakkan kaki ke tanah suci bersama nenda. Saya selalu bermimpi berdoa di hadapan kaabah dan raudhah. Pastinya soal jodoh salah satu antaranya. Maka, bila saya melihat replika tersebut saya begitu sayu. Senja itu saya menangis semahunya. Saya terkenangkan nenda. Yang paling saya risaukan, mahukah bumi Mekah dan Madinah menerima kehadiran saya? Sempatkah saya sujud di hadapan Kaabah? Dapatkah saya berdoa di Raudhah? Saya rindukan lambaian kaabah! Saya benar-benar takut!

Jujur saya katakan, saya tidak pernah mengimpikan putera raja untuk hadir di dalam hidup saya. Saya hanya mahukan bahagia. Saya hanya mahukan bahagia.. Sungguh! Saya hanya mahukan bahagia... Seorang yang boleh menerima saya dan keluarga seadanya. Menerima setiap kekurangan-kekurangan saya. Seorang yang boleh bersama saya saat gembira dan duka. Paras rupa bukan keutamaan saya kerana saya sendiri sedar siapa saya. Cukuplah dia indah di mata saya. Bohonglah kalau saya katakan saya tidak memandang harta benda kerana itu lumrah manusia. Cuma, saya tidak impikan orang kaya atau insan ternama. Cukuplah jika dapat hidup besederhana dan boleh menabung untuk waktu kecemasan dan masa hadapan. Andai ditakdirkan saya bertemu insan yang tidak berharta saya masih boleh menerimanya dengan redha, insyaAllah kerana sesungguhnya harta itu hanya ukuran dunia semata-mata. Saya dan dia masih mampu berusaha, mengumpul setakat yang terdaya sementelah saya juga mempunyai sijil yang tidak seberapa yang membolehkan saya untuk menjadi wanita berkerjaya. Menurut perkiraan saya, perkahwinan bukan sekadar tautan dan ikatan antara dua jiwa, malahan termeterai janji dan sumpah setia untuk tetap bersama di saat duka dan gembira, susah senang dilalui bersama.

Biarlah siapa dia, saya bersedia menerima dia seadanya. Saya hanya impikan seorang ‘imam’ yang akan mengetuai saya dalam jemaah solat, yang boleh membetulkan bacaan Al-Quran saya. Saya mahukan imam yang boleh mengingatkan saya di saat saya terlupa tentang hukum Tuhan, imam yang boleh memimpin dan membimbing saya supaya lebih menyintai Allah. Yang paling penting dialah yang akan menjadi contoh kepada anak-anak saya. Pastinya saya tidak mimpikan seorang ustaz kerana saya tahu saya tidak layak untuk insan sebaik itu. Cukuplah sekadar ilmu agamanya lebih daripada saya walau apa pun kerjayanya. Selepas itu, saya dan dia masih boleh menuntut ilmu bersama-sama. Cuma saya rasakan pasti saya lebih bahagia jika dia yang menjadi gurunya...

Seringkali saya bertanya pada diri sendiri, terlalu besarkah permintaan saya? Mampukah saya menggapai bahagia atau mungkinkah hidup saya akan sentiasa ditemani air mata hingga ke hujungnya? Allah telah berjanji, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik dan begitu juga sebaliknya. Itulah yang paling saya takuti sehingga kini! Saya tidak tahu... Mungkin saya masih tidak tergolong dalam golongan yang baik.

Makanya, saya sentiasa berdoa supaya Allah berikan kekuatan untuk saya membaiki diri. Bukankah iman itu bertambah dan berkurang? Maka, saya sentiasa memohon supaya Allah tetapkan iman saya dan temukan saya dengan ‘imam’ saya agar dia dapat membantu saya. Saya tahu, saya tidak layak untuk meminta kerana saya penuh dosa dan noda. Tapi siapalah saya? Saya tetap hamba-Nya maka kepada-Nya tempat saya meminta...

Saya ingin sekali menjadi khazanah kerahsiaan, seperti mawar yang memagari dirinya dengan duri, tidak mudah didekati apatah lagi disentuh. Menjadi idaman sang kumbang walaupun gentar dan sukar dimiliki. Akhirnya, hanya yang benar-benar hebat bakal menjadi penyunting mawar berduri untuk terus mekar di taman keredhaan Ilahi. Tapi, hakikatnya saya hanya mampu bermimpi.

Sehingga saat ini, saya masih lagi tidak berputus asa dengan doa dan impian yang saya cipta. Saya percaya, kebahagiaan terletak kepada mereka yang menangis, mereka yang terluka, mereka yang telah mencari dan mereka yang telah mencuba. Hanya mereka yang boleh menghargai kepentingan manusia yang telah menyentuh hati dan hidup mereka.

Saya juga percaya cinta datang kepada mereka yang masih berharap sekalipun pernah dikecewakan, cinta datang kepada mereka yang percaya sekalipun masih dikhianati, cinta datang kepada mereka yang masih menyintai sekalipun pernah disakiti hatinya.

Benar, hati saya tidak sempurna. Terlalu banyak calar dan luka sehingga adakala saya sendiri tidak mampu untuk membebatnya. Tapi saya hanyalah saya. Saya tidak mahu berputus asa dan masih berharap. Namun, andai ditakdirkan ‘imam’ itu bukan milik saya, pastinya saya akan kecewa. Tetapi, saya akan berusaha dan belajar menerimanya dengan redha kerana saya tahu semuanya datang dari kelemahan saya...

Doakanlah saya... Semoga kebahagiaan menanti di hujung perjalanan saya...

Amin......

Najmi_qalbi – 9 June 2008, 5.08a.m.

No comments: